Sunday, October 16, 2016

SULTAN KELANTAN DIPILIH YANG DIPERTUAN AGONG KE - 15

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini memilih Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara hari ni dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Selain Raja Perlis, mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Turut berangkat ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mesyuarat itu berlangsung selama kira-kira satu jam.
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan tempoh perkhidmatan baginda akan berakhir pada 12 Disember ini.
Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain,bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran. – Bernama

No comments:

Post a Comment

LINDA RUSLAN

AGM Persatuan Catur Orang Kurang Upaya Malaysia (PCOKUM) ke -11 2022

   Persatuan Catur Orang Kurang Upaya Malaysia : PCOKUM FB: PCOKUM MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-11 Tempat: Dewan KL Braile Resources, Sen...

Popular Post